Ada banyak riwayat yang
mengatakan, bahwa Rasulullah SAW tidak akan memulai peperangan, kecuali sesudah
menyeru terlebih dahulu untuk memeluk Islam.
(Nashbur-Raayah 2:278;
Majma'uz-Zawa'id 5:304; Kanzul Ummal 2:298).
Ibnu Mandah dan Ibnu Asakir telah
memberitakan dari Abdul Rahman bin A'idz ra. katanya: Apabila Rasulullah SAW
mengutus pasukannya ke medan perang, terlebih dahulu Beliau berpesan kepada
mereka, katanya: Berlembutlah kepada manusia, dan jangan memulai sesuatu
tindakan, sebelum kamu mengajak mereka kepada agama Allah. Sesungguhnya tiada
penghuni rumah, atau penduduk kampung, yang dapat kamu membawa mereka kepadaku
dalam keadaan memeluk Islam, itu adalah lebih baik kepadaku dari kamu membawa
kepadaku wanita-wanita mereka dan anak-anak mereka yang kamu tawan, padahal
kamu telah membunuh semua lelaki-lelaki mereka.
(Al-Ishabah 3:152; Musnad
Termidzi 1:195)
Pesan Rasulullah SAW kepada
Pasukan Jihad
Riwayat dari Buraidah ra.
katanya: Apabila Rasulullah SAW mengutus satu pasukan, atau pasukan untuk
berperang, ia berpesan kepada ketua atau panglimanya supaya senantiasa bertaqwa
kepada Allah, khususnya pada diri mereka dan juga pada semua kaum Muslimin, kata
Beliau: "Jika kamu bertemu dengan musuh kamu dari kaum musyrikin, ajaklah
mereka kepada satu dari tiga perkara, dan kiranya mereka menerima apa saja dari
antara tiga perkara itu, hendaklah kamu menerimanya dan berhentikan menyerang
mereka":
1. Ajak mereka untuk memeluk
Islam, jika mereka menerimanya, biarlah mereka memeluk Islam, dan berhenti
menyerang mereka.
2. Ajaklah mereka untuk berpindah
dari negeri mereka ke negeri orang yang berhijrah (yakni negeri Islam), dan
beritahu mereka jika mereka setuju, akan diberi hak seperti yang diberikan
kepada kaum yang berhijrah, dan menanggung hak seperti yang ditanggung oleh
mereka. jika mereka enggan berpindah, dan ingin rnenetap di negeri mereka, maka
beritahu mereka bahwa mereka harus bersikap seperti kaum badui Arab yang telah
memeluk Islam, berlaku ke atas mereka semua hukum-hukum Allah yang dilaksanakan
ke atas kaum yang beriman, dan bahwa mereka tidak berhak untuk menerima jizyah
dan harta rampasan perang, kecuali jika mereka turut berjihad dengan kaum Muslimin.
3. Jika mereka enggan juga semua
tawaran itu, maka berundinglah dengan mereka supaya mereka membayar jizyah
(pajak), jika mereka terima, hendaklah disetujui dan hentikan serangan kepada
mereka. Tetapi, jika mereka enggan dan menolak juga, maka mintalah bantuan
kepada Allah dan perangilah mereka itu. Kemudian, apabila kamu mengepung
penduduk yang berlindung di dalam bentengnya, lalu mereka memohon supaya kamu
memberikan keputusan kepada mereka dengan hukuman Allah, maka janganlah kamu
menuruti permohonan mereka itu, kerana kalian tidak mengetahui apa yang akan
diputuskan Allah kepada mereka. Akan tetapi putuskanlah menurut kebijaksanaan
kamu, dan tetapkanlah ke atas mereka sesudah itu apa yang dipandang wajar!
(Muslim 2:82; Abu Daud, hal. 358;
Ibnu Majah, hal. 210, dan Baihaqi 9:184)
Ada beberapa riwayat yang
memberitakan dari Saiyidina Ali bin Abu Thalib ra. bahwa Rasulullah SAW pernah
mengutusnya ke medan perang, dan setelah pasukannya berangkat, Beliau lalu
menyuruh orang mengejar pasukan itu supaya menyampaikan pesan Rasulullah SAW
yang berbunyi: jangan kamu memerangi musuh kamu sebelum kamu menyeru mereka
kepada agama Islam terlebih dahulu.
Dalam pembicaraan yang
disampaikan oleh Sahel bin Sa'ad ra. yang dinukil oleh Bukhari dan lainnya,
bahwa Rasulullah SAW berkata kepada Ali ra. pada peperangan Khaibar:
Berangkatlah dengan segera, hingga engkau tiba di medan perang mereka, kemudian
serulah mereka kepada Islam, dan beritahu mereka apa yang diwajibkan Allah dari
hal hak-haknya. Demi Allah, seandainya Allah berikan petunjuknya kepada seorang
saja di antara mereka di tanganmu, itu adalah lebih baik dari engkau memiliki
unta-unta merah!
Ibnu Sa'ad telah meriwayatkan
dari Farwah bin Missik Al-Qathi'i ra. berkata: Sekali peristiwa aku datang
kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah! Boleh atau tidakkah aku
memerangi kaumku yang enggan memeluk Islam dengan mereka yang telah memeluk
Islam", tanya Farwah. "Ya, boleh!" jawab Rasulullah SAW
"Tapi, wahai Rasulullah!" tambahku, "mereka itu dari keturunan
Saba', mereka terkenal kuat dan berani mati!" aku cuba menerangkan situasi
yang sebenarnya. "Ya, boleh dan aku benarkan kamu memerangi mereka itu,
walaupun mereka Saba' sekalipun!" Rasulullah SAW mengizinkanku untuk
meneruskan cita-citaku itu. Berkata Farwah: Aku pun meninggalkan majlis
Rasulullah SAW itu kembali ke rumah untuk membuat persiapan. Rupanya waktu itu,
telah turun firman Allah ta'ala yang menjelaskan lagi tentang permasalaan Saba'
tadi. Lalu Beliau menyuruh mencariku dengan mengutus orang untuk memanggilku.
Malangnya aku juga sudah berangkat. Maka utusan itu pun mengejarku dan
mengajakku kembali untuk menemui Rasulullah SAW. Apabila aku memasuki
majelisnya, aku dapati Beliau sedang duduk dan dikelilingi oleh beberapa orang
sahabatnya, lalu Beliau berkata: "Wahai Farwah! Mulaikanlah dengan menyeru
mereka kepada Islam terlebih dahulu, siapa yang setuju terimalah darinya. Dan
siapa yang enggan, jangan engkau lakukan apa-apa terhadapnya, sehingga datang
perintah Allah kepadaku!". "Ya Rasulullah! Apa itu Saba'?"
terdengar seorang sahabat bertanya, "apakah dia mengenai tanah Saba'
ataupun puterinya?". "Bukan", jawab Rasulullah SAW. "Dia
bukan tanahnya atau puetrinya. Tetapi dia seorang lelaki Arab yang beranak
sepuluh. Enam dari padanya berpindah ke Yaman, dan empat yang lain berpindah ke
Syam". Rasulullah SAW menjelaskan hakikat Saba' itu. Kemudian Beliau
menyambung pula: "Adapun yang pergi ke Syam, yaitu: Lakham, Judzam,
Chassan dan Amilah", Beliau berhenti sebentar, kemudian menyambung lagi,
"adapun yang ke Yaman, maka mereka itu: Azd, Kindah, Himyar, Asyfariyun,
Anmar dan Mudzhij". Terdengar pula suatu pertanyaan lagi meminta
penerangan, Siapakah Anmar itu?". "Dia itulah yang dari keturunan
Khats'am dan Bujailah", jelas Rasulullah SAW, lagi.
(Thabaqat Ibnu Sa'ad 2:154, dan
Kanzul Ummal 1:260)
Dalam versi Ahmad dan Abd bin
Humaid yang diriwayatkannya dari Farwah juga, bahwa dia berkata: Aku telah
mendatangi Rasulullah SAW meminta izinnya untuk memerangi orang yang tidak mau
memeluk Islam, kataku: "Bolehkah aku memerangi orang yang enggan
memeluknya dengan mereka yang telah memeluk Islam dari kaumku?". "Ya,
boleh", jawab Rasulullah SAW. "Engkau boleh memerangi orang yang
enggan memeluk Islam itu dengan siapa yang telah memeluk Islam dari
kaummu". Setelah aku pergi, Beliau lalu memanggilku kembali, seraya
berkata: "Jangan engkau memerangi mereka, sehingga engkau menyeru mereka
kepada Islam terlebih dahulu". Tiba-tiba terdengar suara orang bertanya
kepada Beliau, katanya: "Wahai Rasulullah! Saba' itu, apakah lembah, atau
bukit, ataupun apakah dia sebenarnya?". "Bukan semua itu", jawab
Rasulullah SAW, "tetapi dia adalah seorang Arab yang beranak sepuluh orang
anak...". Dan seterusnya sehingga akhir penerangan Rasulullah SAW seperti
yang disebutkan di atas tadi
(Tafsir Ibnu Katsir 3:531)
Thabarani meriwayatkan dari
Khalid bin Said ra. katanya: Rasulullah SAW pernah mengutusku ke negeri Yaman,
seraya berpesan: Siapa yang engkau temui dari kaum Arab, lalu terdengar darinya
suara azan, janganlah engkau mengganggunya. Dan siapa yang mendatangi suara
azan, ajaklah mereka kepada Islam.
(Majma'uz-Zawa'id 5:307)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar