Beratus-ratus masjid baru dibina
ketika banyak gereja terbiar BENUA Eropah yang menjadi antara lubuk sentimen
Islamphobia yang dihangatkan lagi dengan rentetan cubaan serangan terbaru di
Britain, baru-baru ini, sebaliknya semakin diterangi sinar Islam menerusi
projek pembinaan beratus-ratus masjid baru. Setakat ini, di Britain saja ada
sebanyak 1,500 masjid manakala 10 di Perancis, lapan di Sweden, empat di
Hungary dan dua di Russia termasuk Masjid Qolsharif di Tatarstan yang menjadi
masjid terbesar Eropah pada masa ini. Projek pembinaan masjid baru dari Jerman
ke Sepanyol dan Britain, sekali gus membuktikan keberanian masyarakat Muslim
menonjolkan identiti sebenar mereka, tanpa perlu rasa takut mahu pun terancam
dengan perkembangan di sekeliling mereka.
Lebih menarik, jika dulu mereka
terpaksa secara rahsia menunaikan solat di bilik gelap di bahagian paling bawah
bangunan kerana bimbang dicemuh, keadaan sekarang sebaliknya. Mereka yang
kebanyakannya golongan pendatang dari Turki dan Afrika Timur, bukan setakat
berani keluar masuk masjid, malah bekerjasama mengumpul dana dan bersatu hati
menghadapi sebarang dugaan bagi memastikan masjid yang diingini dapat menjadi
satu realiti. Malah, seperti dilaporkan media Barat baru-baru ini, kehadiran
kubah masjid terbesar di Jerman misalnya, semakin menenggelamkan menara gereja
– petunjuk keyakinan baru ke atas Islam ketika gereja pula semakin terbiar di
negara Eropah itu.
Di Jerman saja, sehingga 184
masjid baru kini dalam proses pembinaan termasuk di daerah Kreuzberg, Berlin.
Keadaan jauh berbeza jika dibandingkan bertahun-tahun lalu apabila 180 rahib
kumpulan Katolik Sisters of the Divine Savior diibaratkan sebagai nadi di
bandar itu. Malangnya, hari ini mereka cuma tinggal 8 orang. Setiap minggu,
purata 150 penganut Roman Katolik menghadiri perhimpunan di Gereja Liebfrauen
berbanding kira-kira 3,000 Muslim memenuhi Masjid Yavuz-Sultan-Selim. Sejak
pembukaannya pada 1995, kehadiran kedai dan pusat belia Muslim menjadi ‘besi
berani’ bagi kalangan penduduk Islam.
Di sekitar Eropah, Islam yang
juga agama paling pesat berkembang, semakin ketara dan jelas kewujudannya
berbanding satu ketika dulu apabila ia diamalkan secara senyap-senyap.
Perubahannya bukan menyentuh aspek seni bina pada bandarnya, tetapi juga nilai
sosial masyarakat setempat. Dalam apa dirujuk sebagai lambang integrasi Muslim,
fenomena kemunculan ketara Islam ini turut dilihat sebagai bukti yang dunia
Islam jelas mengancam budaya Kristian Eropah. “Masyarakat Muslim sudah berani
keluar menonjolkan diri mereka yang sebenarnya,” kata Claus Leggewie, pakar
Sains Politik Universiti Giessen, Jerman. Kenyataannya itu berdasarkan
kajiannya mengenai evolusi landskap dan binaan masjid di Jerman. “Menerusi
projek pembinaan masjid yang besar sedemikian, mesej yang mahu disampaikan
(umat Islam) adalah kami di sini. Kami mahu menjadi sebahagian landskap
simbolik Jerman. Kami ada di sini dan akan terus kekal di Jerman,” kata
Leggewie. Pembinaan masjid besar dari Cologne, Jerman sehingga ke Amsterdam
(Belanda) dan Seville, Sepanyol, berdepan bantahan keras penduduk dan pemimpin
tempatan yang mendakwa ia lubuk menghasilkan pengganas. Lebih menyedihkan,
apabila ada kalangan umat Islam yang meragui pembinaan masjid itu. Ini
dibuktikan dengan kenyataan ahli keluarga dua suspek keganasan di Glasgow,
Scotland yang mendakwa suspek itu dilatih menjadi radikal oleh kumpulan
pendakwah Tablighi Jamaat (Jemaah Tabligh) – kumpulan sama yang sedang hebat
memperjuangkan hak bagi pembinaan kompleks Masjid Besar London di tanah seluas
18 ekar. Malah, pembinaannya berhampiran stadium Olimpik 2012, juga bakal
mencatat sejarah sebagai masjid terbesar Eropah. Kewujudan bangunan seumpamanya
jelas berbeza daripada ruang bawah tanah gelap dan kecil yang menjadi tempat
jemaah seperti Halif Kuzpinar menunaikan solat Jumaat, sejak 33 tahun lalu
selepas dia berhijrah dari Turki ke kawasan di Frankfurt, Jerman.
Siapa sangka, pergerakan Islam
yang dianggotainya itu dapat membeli sebuah pasar raya di penempatan bandar
Wiesbaden, di tengah Jerman. “Di sini ada tempat letak kereta, pusat kanak-kanak
dan untuk golongan belia. Kami mahu mewujudkan pusat setempat bagi membolehkan
orang ramai melihat apa yang sebenarnya kami lakukan di sini,” kata Kuzpinar.
Berikutan kewujudan tempatnya sendiri, Mili Gorus – sebuah pertubuhan hak asasi
Islam Turki yang dipantau kerajaan Jerman, mahu memiliki sesuatu yang tidak
pernah dikecapinya iaitu pengiktirafan rakyat di negara yang sudah menjadi
tanah air mereka. Namun, usaha murni itu berdepan bantahan keras. “Ia
sepatutnya dijual sebagai sebuah pasar raya, bukannya masjid,” kata Wolfgang
Kopp, pemilik pangsapuri di seberang premis itu. Beliau bersama jiran lain,
berjaya menghalang usaha menjadikan bangunan pasar raya itu kepada masjid,
tetapi hanya untuk sementara waktu. Ini disebabkan, Perlembagaan Jerman jelas
menyatakan semua agama boleh memiliki tempat ibadatnya sendiri.
Sejak menjejakkan kaki di Jerman,
golongan pendatang seperti Kuzpinar, terpaksa bersolat di bilik gelap yang
menjadi simbol kegelapan masyarakat Islam yang tersepit di antara kebebasan
mengamalkan agama serta budaya masyarakat setempat di negara yang menjadi tanah
air mereka. Kini, generasi ketiga yang semakin berjaya, saling berusaha dalam
projek pembinaan masjid yang lengkap dengan menara. Jika 10 tahun lalu cuma
wujud sebilangan kecil saja masjid, Jerman kini menyaksikan 159 masjid manakala
184 projek pembinaan masjid baru, mengikut Institut Arkib Islam Jerman. Aachen,
bandar Jerman yang didiami 257,000 penduduk di sempadan Belgium dan 9 peratus
masyarakatnya beragama Islam, baru saja memberi kelulusan pembinaan masjid
besar. “Ia petanda yang masyarakat Muslim menjadi sebahagian anggota penting
masyarakat,” kata Datuk Bandarnya, Jurgen Linden. Kata-katanya terbukti benar
apabila Islam yang ingin ditonjolkan sebagai agama pengganas, sebaliknya
semakin hari semakin mendapat tempat di hati ramai anggota masyarakat – tanpa
perlu kempen besar-besaran mahupun mencela agama lain yang sudah bertapak kukuh
di negara Eropah terbabit. Hasil kerjasama dan kesabaran di kalangan Muslim
sudah cukup menjadi bukti keagungan Islam sebagai agama keamanan dan kemunculan
kubah masjid mengatasi menara gereja di Jerman hanyalah antara permulaan awal
kebangkitan sinar Islam di bumi Eropah.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar